KUALA LUMPUR – Terengganu Football Club (TFC) hari ini mengumumkan kehadiran penyerang KL City FC, Muhammad Haqimi Azim Rosli bagi menyertai kelab itu secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menghadapi saingan musim 2025/2026.
Dalam satu kenyataan, TFC memaklumkan pemain skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu dipinjam sebagai sebahagian daripada perancangan pasukan bagi memperkukuhkan skuad, khususnya di bahagian serangan.
Menurut kelab itu, kehadiran Haqimi Azim dilihat penting bagi menghadapi pusingan kedua Liga Super Malaysia 2025/2026 selain saingan Piala Malaysia yang dijadual berlangsung tidak lama lagi.
“Ia bagi menghadapi pusingan kedua Liga Super Malaysia 2025/2026 selain saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Pihak pengurusan Terengganu FC percaya kehadiran Muhammad Haqimi Azim akan memberikan nilai tambah kepada pasukan serta membantu meningkatkan kualiti keseluruhan skuad bagi menghadapi cabaran musim ini,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Mengulas mengenai penyertaannya bersama kelab Pantai Timur itu, Haqimi Azim yang berusia 23 tahun bertekad untuk memberikan komitmen terbaik sepanjang tempoh pinjamannya bersama TFC.
Pemain kelahiran Gombak, Selangor itu turut menyatakan hasrat untuk menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin bagi membantu Terengganu FC mengharungi pusingan kedua Liga Super Malaysia 2025/2026, di samping berusaha memberikan komitmen penuh demi kepentingan pasukan.

