PPIP FC pertahan kejuaraan, unggul julang piala SCC 2026

GEORGE TOWN – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan FC (PPIP FC) muncul juara School Championship Cup (SCC) 2026 selepas berjaya menewaskan PPSK FC menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Olahraga USM, malam tadi.

Perlawanan akhir itu berakhir tanpa jaringan selepas kedua-dua pasukan mempamerkan aksi sengit sepanjang 60 minit permainan dengan disiplin pertahanan yang cukup ampuh, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan melalui sepakan penalti.

Dalam penentuan dramatik itu, PPIP FC lebih tenang menyempurnakan sepakan untuk mengesahkan kejuaraan mereka, sekali gus menutup tirai kejohanan dengan penuh bergaya.

Sementara itu, Wan Muhammad Ashraff Wan Zaki dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kempen SCC 2026. Anugerah penjaga gol terbaik pula menjadi milik Muhamad Amirul Azrey Azizan yang beraksi konsisten dan kebal di gawang sepanjang kejohanan.

Dalam perkembangan sama, SOM FC berjaya meraih tempat ketiga selepas diberikan kemenangan percuma oleh pengadil.

Kejohanan SCC 2026 yang berlangsung dari 7 hingga 24 April itu melibatkan penyertaan 11 pasukan dan menyaksikan sebanyak 29 perlawanan dipertandingkan, sekali gus menyerlahkan bakat serta semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM).

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya memberitahu bahawa sukan memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, disiplin dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.

“Sukan bukan sekadar medan persaingan, tetapi platform penting dalam membentuk jati diri, kepimpinan dan nilai kebersamaan dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Pengrah projek, Zulkarnain Johor pula menyifatkan SCC sebagai platform terbaik dalam pembangunan jati diri mahasiswa, di samping menggalakkan gaya hidup sihat serta semangat perpaduan dalam komuniti kampus.

BACA JUGA:  Terengganu FC kembali bangkit, tewaskan PDRM FC 1-0

“Kejohanan ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah menjadi wadah untuk mahasiswa membina karakter dan semangat berpasukan yang tinggi,” menurutnya.

Nabil Qodri
Nabil Qodri
nabilqodri@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...