SEREMBAN – Tindakan seorang pemandu lori menghantar gambar dan video lucah bekas isterinya kepada suami baharu wanita itu menerusi aplikasi WhatsApp memakan diri apabila dia didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Suhaimi Yusof, 50, selepas dia mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan di hadapan mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut lima pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp secara tidak wajar dengan menghantar tiga keping gambar dan dua rakaman video lucah kepada seorang lelaki dengan niat untuk mengganggunya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Mantin, Seremban pada 22 Mac 2023.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dia bertindak sedemikian kerana mendakwa telah ditipu oleh bekas isterinya.
Bapa kepada empat anak itu turut memaklumkan bahawa dia kini hidup merempat, termasuk tidur di dalam kereta dan masjid sejak dua bulan lalu selepas melarikan diri ke Kuala Lumpur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Farhan Kamarudin.
