KUALA LUMPUR – Lima sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dijangka diterbangkan ke Eropah dalam masa terdekat bagi menggalas tanggungjawab sebagai kapten dan kru teknikal dalam persiapan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, penglibatan lima sukarelawan tersebut merupakan penyertaan pertama rakyat tempatan dalam aspek teknikal dan pengendalian bot bagi misi antarabangsa berkenaan.
Menurutnya, kesemua sukarelawan itu telah melalui proses temu duga dan saringan ketat oleh pihak Global Sumud Flotilla serta Sumud Nusantara sebelum dibenarkan menyertai pasukan antarabangsa di Eropah.
“Mereka akan berperanan sebagai kapten, kru dan juruteknik dalam aspek persiapan bot. Ini satu pencapaian penting kerana rakyat Malaysia kini turut terlibat dalam operasi teknikal misi kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Misi GSF 2.0 dijadual berlayar pada 12 April ini bermula dari Barcelona, Sepanyol dengan penyertaan lebih 100 bot, sekali gus dijangka menjadi misi flotilla terbesar pernah dianjurkan setakat ini.
Muhammad Nadir berkata, setakat ini puluhan bot telah diperoleh di beberapa pelabuhan sekitar Eropah dan kini berada dalam fasa persiapan akhir sebelum pelayaran ke Gaza.
Beliau menjelaskan, laluan pelayaran dijangka mengikuti misi terdahulu dengan persinggahan di Tunisia dan Itali, manakala perjalanan ke Gaza dianggarkan mengambil masa kira-kira dua minggu bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor keselamatan.
Dalam pada itu, pihak penganjur turut menjangkakan kemungkinan cabaran keselamatan termasuk tindakan pintasan, memandangkan skala misi kali ini lebih besar berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) CGM, Muhd Haikal Luqman Zulkefli berkata, setakat ini hampir 20 sukarelawan terdiri daripada orang awam dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada CGM, Cinta Salam Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terlibat dalam gerak kerja misi tersebut.
Katanya, kumpulan berkenaan bertindak sebagai penggerak utama dalam menyelaras pelbagai urusan logistik serta penyertaan peserta bagi memastikan kelancaran misi GSF 2.0.

