KUALA LUMPUR – Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang didakwa berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun lalu disahkan tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, majlis yang dikatakan sebagai ‘Istiadat Pemasyhuran’ tersebut adalah tidak sah dan tidak mempunyai sebarang pengiktirafan rasmi.
“Adalah dimaklumkan bahawa majlis yang dikatakan sebagai ‘Istiadat Pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun 2026 adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan, gelaran Yang di-Pertuan Besar yang didakwa digunakan oleh Tunku Dato Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar adalah tidak berkuat kuasa.
Sebelum ini, Tunku Nadzaruddin dilaporkan telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis di sebuah resort di Alor Gajah, Melaka.
Pemasyhuran tersebut dikatakan diisytiharkan secara ringkas oleh Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Dalam masa sama, Azizi memaklumkan bahawa penerimaan gelaran yang tidak sah itu turut menyebabkan Tunku Nadzaruddin secara automatik melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang disandang sebelum ini.
“Sehubungan itu, tiada lagi penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar,” katanya lagi.

