KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal, dijatuhi hukuman penjara selama lima minggu selepas didapati bersalah menghina mahkamah susulan kenyataan yang dibuat berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, pada prosiding yang berlangsung hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Mohd Shafie untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu didengar di Mahkamah Tinggi.
Penangguhan tersebut menyebabkan hukuman penjara ke atas Presiden Parti Warisan yang juga Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu tidak dilaksanakan serta-merta sehingga rayuan diputuskan.
Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen boleh hilang kelayakan sekiranya disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000, tertakluk kepada peruntukan berkaitan.
Bagaimanapun, dalam kes ini, mahkamah hanya menjatuhkan hukuman penjara selama lima minggu serta membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga proses rayuan selesai.


