SHAH ALAM – Atlet para renang negara, Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan mengambil tindakan membuat laporan polis susulan satu hantaran di Threads yang mempertikaikan kelayakannya ke Sukan Asia.
Menerusi perkongsian di media sosial, Imaan memaklumkan perkara itu kini turut dibincangkan bersama peguam.
“Alhamdulillah setelah report polis dibuat… Hari ini perbincangan diteruskan di antara lawyer dan saya berkenaan kes posting di media sosial Threads,” katanya.
Menurutnya, sebarang kenyataan lanjut hanya akan dikeluarkan oleh pihak badan dan pengurusan persatuan.
View on Threads
Kontroversi tercetus selepas seorang pengguna Threads mendakwa Imaan “tak layak ke Sukan Asia” selain mempertikaikan kenyataannya dalam satu temu bual berkaitan pengorbanan demi atlet lain.
Hantaran itu kemudian mencetuskan perdebatan apabila beberapa pengguna tampil mempertahankan Imaan dengan menegaskan orang ramai perlu memahami klasifikasi atlet para sebelum membuat penilaian.
Seorang pengguna mendakwa Imaan masih mempunyai kelayakan berdasarkan catatan masa, namun keputusan membawanya ke Aichi-Nagoya bergantung kepada pihak berkuasa sukan.
“Terima kasih sifuu atas support yang diberi, alhamdulillah ada jugak yang backup athlete OKU macam kita”, balas Imaan.
Beberapa pengguna lain turut mengingatkan bahawa kategori OKU dan sukan para bukan hanya melibatkan ketidakupayaan fizikal yang boleh dilihat.
“Saya akan pertahankan atlet-atlet OKU saya semua”, tegas Imaan.
Setakat ini, tiada perkembangan mengenai hasil laporan polis berkenaan diumumkan kepada umum.
