KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan peruntukan lebih RM6.6 juta bagi kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah.
Beliau berkata, kelulusan itu amat bermakna buat rakyat Kelantan bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi segera.
“Suara rakyat akan terus dibawa dengan semangat budaya politik matang dan sejahtera yang juga menzahirkan semangat federalisme yang tinggi antara kerajaan negeri dan Persekutuan demi kebaikan mereka (rakyat).
“Kerajaan negeri telah bertindak pantas mengemukakan permohonan kepada Putrajaya bagi menangani insiden cerun runtuh, susulan hujan berterusan yang menyebabkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter dan mengakibatkan kerosakan struktur ‘sheet pile’ di LRA tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin malam.
Menurut Mohd Nassuruddin, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM235,000 bagi pelaksanaan dua kajian oleh Jabatan Kerja Raya iaitu Kajian Siasatan Tanah dan Kajian Ukur Terperinci di tapak LRA berkenaan.
“Inisiatif tersebut mendapat maklum balas positif apabila kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan peruntukan,” katanya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan hujan lebat berterusan pada 28 November tahun lalu menyebabkan mendapan dan pergerakan tanah di kawasan LRA Bukit Remah, Tanah Merah.
Kejadian tersebut mengakibatkan paip air bersaiz 700 milimeter (mm) pecah, sekali gus menjejaskan bekalan air kepada 13,766 akaun pengguna.
Jabatan Korporat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan memaklumkan paip air mentah itu pecah pagi tadi menyebabkan LRA Bukit Remah terpaksa dihenti tugas serta-merta.