Khamis, 18 Jun 2026

“Dah takda video sedih lepasni,” baru bertunang Mei lalu, Shaffuan umum bakal kahwin November ini

GEORGE TOWN – Pengarah Kreatif, Muhammad Shaffuan bakal menamatkan zaman bujangnya pada November ini, sekali gus melengkapkan fasa baharu dalam kehidupan peribadinya tahun ini.

Beliau berkata, perancangan perkahwinan itu dijangka berlangsung secara sederhana dan lebih bersifat intim bersama keluarga terdekat.

“Alhamdulillah, saya baru je tunang… tahun ni sebelum akhir tahun ni, anggaran bulan 11. Dalam keadaan yang mega sederhana, saya rasa intimate je,” katanya ketika ditemui pada malam Anugerah Festival Filem Anak Muda Kali Ke-5 yang berlangsung di Balai Paseban Agung, Universiti Sains Malaysia (USM), malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Shaffuan berkata fokusnya kini bukan hanya terhadap kerjaya seni, malah turut memberi perhatian kepada keseimbangan kehidupan bersama keluarga.

Beliau yang baru sahaja bertunang pada Mei lalu turut mengakui pengalaman tersebut mengubah perspektifnya terhadap keutamaan hidup.

“Bagi saya masa dengan family tu different time lah sebab saya belajar macam bila saya kejar kejayaan ni, pada akhirnya dia adalah family,” katanya.

Dalam perkembangan kerjaya, beliau yang sebelum ini aktif sebagai content creator kini sedang mengembangkan langkah ke arah industri perfileman bersama rakan kreatifnya, Sofian menerusi projek Astro Cinematic Universe yang disifatkan sebagai platform latihan.

“Alhamdulillah baru satu keluar, Cinematic Universe episod pertama dan kedua kat Taha… itu adalah playground ataupun training ground,” katanya.

Tambahnya, pengalaman tersebut banyak membantu mereka memahami aspek penceritaan, dialog dan skrip sebelum menghasilkan karya filem penuh pada masa akan datang.

“Kami adalah content creator untuk berpindah kepada sebuah filmmaking… banyak benda kami belajar dari segi dialog, skrip,” jelasnya.

Muhammad Shaffuan turut menegaskan masih banyak aspek perlu dipelajari sebelum benar-benar bersedia memasuki industri filem secara serius, termasuk dari segi visual dan penceritaan.

“Kalau nak katakan bersedia, saya rasa masih lagi… belum cukup lagi. Filem ni bukanlah satu aspek saja, pelbagai aspek,” katanya.

Beliau dalam masa sama berharap dapat menghasilkan filem yang mampu mencapai kejayaan besar di pawagam sekiranya diberi peluang dan rezeki pada masa hadapan.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com