Rabu, 17 Jun 2026

Dataran Wawasan bertukar meriah, 1,000 pelari jayakan ‘Night Race @ Putrajaya’

PUTRAJAYA – Acara Night Race @ Putrajaya 2026 berjaya menghimpunkan seramai 1,000 peserta dari pelbagai latar belakang sekali gus menyemarakkan budaya hidup sihat dan semangat komuniti di ibu negara pentadbiran itu.

Program anjuran Equip Event yang berlangsung di Dataran Wawasan pada Sabtu lalu bukan sahaja menawarkan pengalaman larian malam yang unik, malah turut menggabungkan elemen karnival kesihatan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif.

Menurut Penyelaras Media Pelajar, Saufi Abdul Aziz Abd Ra’uf, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan sukan kekal menjadi platform berkesan untuk memperkukuh hubungan komuniti dan kesejahteraan golongan muda.

“Penyertaan seramai 1,000 pelari malam ini menunjukkan sukan masih menjadi medium penting dalam membina komuniti yang sihat dan aktif. Pasukan Media Pelajar UiTM Shah Alam berbangga dapat bekerjasama dengan Equip Event bagi membuat liputan menyeluruh terhadap program yang memberi inspirasi kepada masyarakat,” katanya.

Acara berskala besar itu menyediakan beberapa kategori larian yang sesuai untuk pelbagai tahap kecergasan peserta, termasuk larian santai serta kategori kompetitif jarak jauh. Bagi kategori 10 kilometer (KM), Chan BoonPeng muncul juara selepas menampilkan prestasi cemerlang, manakala kategori separuh maraton 21KM dimenangi oleh Suresh A/L Munianday.

Setiap peserta berdaftar yang berjaya menamatkan larian turut menerima baju larian eksklusif dan pingat penamat khas sebagai penghargaan terhadap komitmen serta usaha mereka.

Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh wakil penaja utama acara, Bubble, yang turut menyokong pembangunan sukan tempatan serta amalan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.

Suasana meriah diteruskan sejurus tamat perlumbaan apabila peserta menyertai sesi senamrobik beramai-ramai sebelum berkongsi pengalaman dan kenangan acara di media sosial masing-masing. Selain itu, ramai peserta dilihat mengambil peluang untuk berkenalan serta membina jaringan persahabatan baharu selepas bersama-sama menamatkan cabaran larian tersebut.

Wani Adawiyah
Wani Adawiyah
waniadawiyah@portalmyberita.com