Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURANKonsert Legasi P. Ramlee hidupkan semula keagungan seni Melayu

Konsert Legasi P. Ramlee hidupkan semula keagungan seni Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Nama Tan Sri P. Ramlee tidak pernah luput daripada ingatan rakyat Malaysia. Setiap karya beliau terus hidup dalam jiwa seni tanah air, mendidik, menghibur dan menyatukan masyarakat pelbagai kaum sejak lebih setengah abad lalu.

Bagi menghargai sumbangan seniman agung itu, Konsert Legasi P. Ramlee bakal dipentaskan pada 20 September ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, menerusi sebuah persembahan mega yang menggabungkan elemen muzik, teater dan sinematik.

Dianjurkan oleh Tanahair Films Sdn. Bhd., konsert berprestij ini merupakan kesinambungan kepada Projek Perdana P. Ramlee, hasil cetusan dua figura tersohor industri seni, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie.

Menurut Khairul Anwar yang juga Pegawai Eksekutif Tanahair Films, penganjuran konsert ini bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya satu usaha memperkenalkan semula sosok P. Ramlee sebagai pemimpin budaya kepada generasi baharu.

“Tan Sri P. Ramlee bukan hanya seniman, tetapi lambang perpaduan, simbol kecemerlangan bangsa dan pencetus tamadun hiburan Melayu. Konsert ini adalah manifestasi cinta terhadap warisan seni kita yang perlu terus hidup,” katanya.

Tambah beliau, konsert ini turut mendapat sokongan padu daripada beberapa badan utama termasuk Arkib Negara Malaysia, Kementerian Komunikasi, Finas, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Perpaduan Negara.

Konsert yang disusun dalam format persembahan dramatik dan sinematik ini bakal mempersembahkan lebih 30 karya agung P. Ramlee melalui gandingan empat maestro muzik terkemuka negara iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen.

Lebih 60 pemuzik orkestra akan mengiringi barisan penyanyi tersohor tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainal Abidin, Ella, MimiFly, Liza Hanim dan Nadeera, yang masing-masing akan membawa nafas baharu kepada lagu-lagu malar segar P. Ramlee.

Istimewanya, tiga figura yang cukup sinonim dengan persona P. Ramlee – P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee turut diundang bagi menghidupkan semula nostalgia zaman kegemilangan seniman legenda itu.

Adlin Aman Ramlie selaku pengarah artistik pula menjanjikan malam persembahan yang bukan sahaja membangkitkan kenangan, malah menyuntik semangat baru terhadap warisan seni negara.

“Konsert ini akan membawa penonton kembali ke era emas muzik Melayu, dengan sentuhan segar dan emosi yang mendalam. Ia bukan sekadar hiburan, tapi penghormatan tulus terhadap seorang tokoh agung,” jelasnya.

Tiket Konsert Legasi P. Ramlee kini boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan lanjut di media sosial rasmi @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms dan @legasipodcast di Facebook, Instagram serta TikTok.

Lebih daripada sebuah persembahan, konsert ini adalah lambang kasih sayang rakyat Malaysia terhadap seorang seniman yang telah membentuk jiwa seni bangsa Tan Sri P. Ramlee, legenda abadi seni negara.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN