18 Jun 2026, 9:15 PM

“Sambung belajar sebab arwah bapa,” Fauziah Nawi sasar genggam PhD

0
"Sambung belajar sebab arwah bapa," Fauziah Nawi sasar genggam PhD

Perkongsian itu dibuat menerusi hantaran di platform Threads apabila beliau memuat naik gambar memegang kad pelajar di hadapan bangunan Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia (USM).

KUALA LUMPUR – Pelakon veteran, Fauziah Nawi meluahkan rasa syukur dan teruja apabila berpeluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus merealisasikan impian arwah bapanya yang mahu beliau menuntut ilmu hingga ke menara gading.

Perkongsian itu dibuat menerusi hantaran di platform Threads apabila beliau memuat naik gambar memegang kad pelajar di hadapan bangunan Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia (USM).

Dalam hantaran tersebut, Fauziah turut menulis kapsyen menyentuh hati yang berbunyi, “Perkara yang pastinya menggembirakan arwah bapa Tuan Haji Nawi Mukri.”

Ketika ditanya mengenai keputusannya menyambung pengajian, Fauziah berkata hasrat itu lahir daripada keinginan untuk memenuhi impian arwah bapanya yang sentiasa menekankan kepentingan pendidikan.

“Sambung belajar sebab arwah bapak. Dulu dia selalu suruh saya masuk universiti tetapi ketika itu saya tidak berpeluang. Jadi sekarang saya mahu tunaikan impian itu,” katanya.

Menurut Fauziah, beliau kini sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana dan tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

“Kalau ada rezeki dan kesihatan mengizinkan, saya mahu sambung sampai PhD,” ujarnya.

Perkongsian pelakon berusia 73 tahun itu menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang kagum dengan semangatnya untuk terus menuntut ilmu meskipun sudah mempunyai nama besar dalam industri seni tanah air.

Ramai netizen turut menyifatkan Fauziah sebagai inspirasi kepada masyarakat bahawa usia bukan penghalang untuk menambah ilmu pengetahuan dan mencapai cita-cita yang tertangguh.

Terdahulu, Fauziah mencuri perhatian apabila memuat naik gambar memegang kad pelajar, sekali gus mengundang pertanyaan ramai mengenai bidang dan peringkat pengajian yang sedang diikutinya. Selain aktif dalam bidang seni, beliau kini membuktikan bahawa proses pembelajaran merupakan perjalanan sepanjang hayat.

About The Author

Tinggalkan Balasan