PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan pelantikan mana-mana hakim di negara ini.
Sebaliknya, beliau menghormati sepenuhnya proses pelantikan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, sebarang pelantikan atau penyambungan kontrak membabitkan penjawat awam termasuk hakim tertakluk kepada prosedur sedia ada dan bukan keputusan individu semata-mata.
“Saya ditegur, ada pula kempen kata mesti sambung, jangan sambung (tempoh perkhidmatan hakim).
“Apabila sesebuah institusi yang sepatutnya bebas dan berintegriti dipolitikkan, ia memberi gambaran yang tidak sihat.
“Saya tidak campur dalam mana-mana keputusan pelantikan dan saya elakkan daripada bertemu hakim-hakim kanan, melainkan Ketua Hakim Negara.
“Itu pun bagi perbincangan pentadbiran, bukan soal kes,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Anwar turut meluahkan kebimbangan apabila isu pelantikan atau penyambungan kontrak hakim dijadikan bahan perdebatan umum.
Perkara itu, katanya, menimbulkan tohmahan tidak berasas termasuk tuduhan wujud campur tangan politik.
Katanya, jika penyambungan dibuat, ia dituduh sebagai pengkhianatan.
Namun jika tidak disambung, juga dikatakan satu bentuk pengkhianatan.
“Ini tidak wajar, kalau hari ini Ketua Setiausaha Negara (KSN) hendak bersara enam bulan lagi.
“Kemudian ada pula kempen habis-habisan supaya disambung atau jangan disambung, bagaimana kita hendak tadbir negara dengan baik?
“Isu pelantikan badan kehakiman bukan soal suka atau tidak suka mana-mana pihak, bukan ikut selera politik atau kelompok tertentu,” tegasnya.
Beliau menjelaskan proses pelantikan hakim melibatkan beberapa peringkat termasuk cadangan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, penilaian Perdana Menteri, perkenan Yang di-Pertuan Agong serta pembentangan kepada Majlis Raja-Raja.
“Sebab itu saya tidak pernah campur dalam keputusan mana-mana hakim.
“Kalau mereka nak beri DNAA (lepas tanpa dibebaskan), itu bukan urusan saya, kalau mereka tak beri, pun bukan urusan saya.
“Saya lihat dalam dua kes besar baru-baru ini – satu berkait Datuk Seri Najib Tun Razak, satu lagi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Kedua-duanya mendapat DNAA, tapi dua-dua pihak ada pandangan bertentangan.
“Maka jelas, ini bukan soal prinsip tetapi pandangan politik masing-masing,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa keutamaan beliau sebagai Perdana Menteri adalah untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Beliau juga mahu menjamin agar tiada mana-mana pihak termasuk elit politik atau kumpulan berkepentingan mampu mempengaruhi sistem perundangan negara.
“Kalau kita mahu undang-undang dan institusi dihormati, maka kita mesti patuh kepada proses, bukan kepada tekanan luar.
“Saya baca semua pandangan – daripada peguam elit sehinggalah badan Islam.
“Namun akhirnya keputusan mesti berpandukan prinsip Perlembagaan dan lunas undang-undang, bukan berdasarkan populariti atau desakan politik,” katanya.