Rabu | 5 November 2025
spot_img

Elly Mazlein tegas jaga privasi anak, enggan dedah wajah di media sosial

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pengacara terkenal, Elly Mazlein, kekal dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan wajah dua anaknya, Putri Sara Sefhia dan Haider Matten di media sosial demi menjaga privasi keluarga.

Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, beliau tidak mahu anak-anaknya merasa terikat dengan status dirinya sebagai selebriti, sebaliknya membesar seperti kanak-kanak biasa.

“Biarlah anak-anak membesar seperti orang biasa sebab saya tidak mahu mereka menjadi bahan tumpuan ramai. Alhamdulillah, sehingga hari ini mereka sangat selesa dengan kehidupan mereka,” katanya kepada MYBERITA ketika ditemui selepas sidang media program Big Stage Alpha, semalam.

Mengulas mengenai trend dalam kalangan selebriti yang memilih untuk tidak mendedahkan wajah anak di media sosial, Elly berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak dan cara tersendiri dalam menjaga keluarga mereka.

“Kalau ada artis-artis lain yang buat perkara sama, mungkin itu cara terbaik buat mereka. Itu hak masing-masing. Kalau ada yang mahu kongsi wajah anak di media sosial, itu juga pilihan mereka.

“Tapi buat masa ini, saya lebih senang dengan keputusan untuk menjaga keselesaan dan ketenangan hidup anak-anak,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia turut berterima kasih kepada para peminat yang memahami dan menghormati keputusannya itu.

“Kebanyakan peminat sudah faham prinsip saya, mereka tahu jika saya muat naik gambar, wajah anak-anak saya akan ditutup dengan emoji. Bahkan, ada juga yang ikut langkah sama bila bergambar dengan kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Elly sekali lagi dipilih sebagai hos bersama pengacara popular Indonesia, Rina Nose untuk mengemudi program Big Stage Alpha yang akan bersiaran mulai 27 April ini. Program tersebut merupakan edisi khas lelaki sepenuhnya dengan penyertaan 18 bintang lelaki.

Untuk rekod, Elly mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Azlan Che Nuh pada Januari 2020 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Haider, 4 tahun. Sebelum itu, beliau pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta dan hasil perkahwinan tersebut mereka mempunyai seorang anak perempuan, Sefhia, kini berusia 8 tahun.

Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafniezajafri@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan