Rabu | 5 November 2025
spot_img

‘Saya memang kayu, kali pertama menari’, Araff dedah cabaran bawa lagu Inggeris

SHAH ALAM – Peserta Big Stage Alpha, Araff, menyifatkan persembahannya malam tadi sebagai satu kejayaan peribadi apabila berjaya membawa lagu Inggeris Feeling Good nyanyian asal Michael Bublé dalam versi rock, meskipun mengakui bukan mudah untuk menakluki pentas dengan lagu bukan dalam bahasa ibundanya.

Menurut Araff, kekuatan dirinya dalam bahasa Inggeris hanyalah dari segi pembacaan, menjadikan nyanyian dan penyampaian lagu dalam bahasa itu sebagai satu cabaran besar.

“Saya punya kekuatan dalam Bahasa Inggeris hanyalah membaca. Kalau baca, barulah boleh sebut dengan betul. Tapi bila menyanyi atau bercakap, memang boleh ‘lebur’ kata-kata saya. Tapi saya anggap ini sebagai cabaran dan Alhamdulillah, saya dapat jayakan dengan baik,” katanya kepada media selepas tamat konsert Big Stage Alpha minggu ketiga.

Araff turut merakamkan penghargaan kepada keluarga dan rakan-rakan kontestannya yang banyak memberikan sokongan sepanjang persiapannya.

“Ini semua berkat doa mak saya, restu mak ayah, dan juga kawan-kawan kontestan yang lain,” ujarnya.

Persembahan dramatik Araff yang turut melibatkan elemen api dikatakan sebagai hasil kerjasama produksi Astro yang memberikan impak visual luar biasa pada malam konsert tersebut.

“Terima kasih kepada pihak produksi kerana memberikan saya peluang untuk satu persembahan yang ‘helo’. Saya puas hati dengan persembahan saya hari ini. Mungkin tidak sempurna, tapi saya puas dengan usaha saya.”

Ditanya tentang komen juri, Araff menyatakan rasa hormat dan terbuka terhadap segala teguran yang diterima.

“Komen tentang suara sedap atau tidak, itu saya serahkan kepada masing-masing. Tapi saya hormat semua komen juri sebab mereka lebih arif dalam bidang ini. Saya bersyukur bila Abang Haji (Hael Husaini) kata saya ada rupa. Terima kasih!”

Mengulas tentang segmen persembahan berkumpulan, Araff menyifatkan ia sebagai pengalaman baharu yang membuka ruang untuknya mencuba perkara yang di luar zon selesa – termasuk menari buat kali pertama.

“Saya memang ‘kayu’, tapi Alhamdulillah ahli kumpulan saya sangat supportive. Mereka ajar saya perlahan-lahan. Kami ada Raydy, Alan dan Q – semua banyak bantu. Kami juga sanggup berhenti dan berehat sekejap demi pastikan persembahan kumpulan Ultra menjadi.”

Konsert mingguan Big Stage Alpha bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Shah Alam Royal Theater, menampilkan Datuk Syafinaz Selamat, Edry Abdul Halim dan Hael Husaini sebagai juri tetap, manakala juri jemputan berbeza hadir setiap minggu. Program ini dikendalikan oleh dua hos popular, Elly Mazlein dan Rina Nose.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan