HULU SELANGOR – Kes pembunuhan tragis melibatkan seorang anggota polis dan seorang graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini memasuki fasa baharu apabila Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu memutuskan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Keputusan tersebut dibuat oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka telah mendapat kebenaran untuk memindahkan kes berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams-Hunt, memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan tersebut dibuat bagi membolehkan perbicaraan kes dijalankan di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, tarikh sebutan pertama di mahkamah tinggi akan ditetapkan kemudian.
Tertuduh, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 27, didakwa menyebabkan kematian Nur Farah Kartini Abdullah, 26, di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara jam 9 pagi pada 10 Julai hingga 6 petang, 15 Julai 2024.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan jika tidak dihukum mati.
Dalam prosiding hari ini, Muhammad Alif diwakili oleh peguam Aida Jaafar. Sebelum ini, kes beberapa kali ditangguhkan kerana pihak pendakwaan masih menunggu beberapa dokumen penting termasuk laporan kimia.
Kes ini mendapat perhatian meluas selepas media melaporkan kehilangan Nur Farah Kartini pada 10 Julai 2024 selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan. Mayatnya ditemui lima hari kemudian oleh polis di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Susulan penemuan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis dari Perak ditahan dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

