AHMEDABAD — Lebih 200 mayat telah ditemukan di lokasi nahas pesawat Air India yang terhempas semasa dalam penerbangan ke London pada tengah hari Khamis, menurut laporan pihak berkuasa India.
Pesawat jenis Boeing 787 Dreamliner itu sedang mengendalikan penerbangan AI171 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel Ahmedabad menuju ke Lapangan Terbang London Gatwick apabila ia terhempas di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang berkenaan pada jam 1.38 tengah hari waktu tempatan.
Menurut kenyataan Air India, pesawat tersebut membawa seramai 242 individu termasuk 230 penumpang dan 12 anak kapal. Antara penumpang yang terlibat ialah 169 warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada.
Ketua Polis Bandar Ahmedabad, G.S. Malik mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 204 mayat telah ditemukan setakat ini, sambil menambah usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan secara berterusan. Pesawat dilaporkan merempuh sebuah bangunan asrama doktor berhampiran kampus perubatan sebelum meletup dan terbakar.
Seorang mangsa tunggal yang terselamat, Vishwash Kumar Ramesh, 40, kini dirawat di hospital dan menceritakan detik mencemaskan itu.
\”Tiga puluh saat selepas berlepas, saya dengar bunyi kuat dan pesawat terhempas. Apabila saya sedar, saya lihat mayat di sekeliling. Saya ketakutan. Saya bangun dan lari. Serpihan pesawat berada di mana-mana. Seseorang menarik saya, meletakkan saya dalam ambulans dan membawa saya ke hospital,\” katanya kepada Hindustan Times.
Ketua Pegawai Eksekutif Air India, Campbell Wilson, dalam kenyataan video petang tadi tidak memberikan butiran jumlah korban secara rasmi tetapi menyatakan Air India akan memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa.
Kumpulan Tata, pemilik Air India, mengumumkan bahawa mereka akan menyalurkan pampasan sebanyak 10 juta rupee (kira-kira RM550,000) kepada keluarga setiap mangsa yang terkorban. Tambahan pula, semua kos rawatan untuk mangsa yang cedera akan ditanggung sepenuhnya.
\”Kami juga akan memberi sokongan untuk membina semula asrama B J Medical yang musnah dalam tragedi ini,\” kata Pengerusi Kumpulan Tata, N. Chandrasekaran.
Model pesawat 787-8 Dreamliner yang digunakan dalam penerbangan ini telah diserahkan kepada Air India pada Januari 2014, menurut data laman penjejak penerbangan Flightradar24. Pesawat badan lebar itu merupakan antara model paling laris keluaran Boeing.
Ramai pemimpin dunia dan pengeluar pesawat Boeing turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan India atas tragedi tersebut.
Sementara itu, Lapangan Terbang Ahmedabad yang sebelum ini menggantung semua operasinya telah kembali beroperasi malam tadi.
Menteri Penerbangan Awam India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu, dalam lawatannya ke lokasi kejadian berikrar bahawa satu siasatan menyeluruh akan dijalankan.
\”Kami akan menjalankan siasatan yang adil dan mendalam untuk mengetahui punca sebenar kejadian ini,\” katanya kepada pihak media.
Pihak berkuasa penerbangan India bersama pasukan penyiasat nahas kini sedang meneliti data kotak hitam yang telah ditemukan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tragis ini.

