AC Mizal tuntut permohonanan maaf 24 jam, 4U2C nekad teruskan konsert walau digugat isu hak cipta

KUALA LUMPUR – Walaupun dihimpit kontroversi berkaitan hak cipta dan pemilikan lagu, kumpulan hip hop popular era 1990-an, 4U2C tetap komited meneruskan penganjuran konsert istimewa WE 4U2C Live In Concert yang dijadual berlangsung pada 15 September depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.

Mewakili kumpulan tersebut, Datuk AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, menegaskan bahawa pihaknya memiliki kebenaran sah untuk menganjurkan konsert tersebut, selaras dengan garis panduan ditetapkan oleh Music Authors\’ Copyright Protection (MACP) Berhad.

\"\"

“Saya ingin umumkan bahawa kami sudah memperoleh permit daripada MACP. Konsert ini akan diteruskan seperti dirancang,” katanya pada sidang media tergempar yang diadakan hari ini.

Menurut AC, mengikut Akta Hak Cipta Malaysia 1987, sebarang persembahan muzik secara langsung tidak memerlukan persetujuan terus daripada pencipta lagu kerana hak tersebut telah diserahkan kepada MACP.

“Bukan kami mahu menidakkan hak sesiapa. Tetapi bila isu ini timbul, kami perlu jelaskan bahawa rujukan berkaitan hak cipta telah kami buat lebih awal sebelum umumkan projek konsert ini,” jelasnya lagi.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah wakil penganjur Juss Event Sdn Bhd, Shasha Marican, peguam Carlos Mak Chuen Yuan dari firma guaman Tang Kong Hai dan Tui, serta anggota kumpulan 4U2C.

Kontroversi tercetus selepas komposer veteran, Man Senoi atau nama sebenarnya Othman Masri, 72, dan isterinya Ramziah Mohamed Noor, 62, yang dikenali sebagai Mama Rap, mendakwa mereka memegang hak milik terhadap 25 lagu milik 4U2C dan tidak dimaklumkan mengenai pementasan konsert tersebut.

\"\"

Bagi membersihkan reputasi yang tercemar akibat kenyataan tersebut, AC menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar dalam tempoh 24 jam.

BACA JUGA:  AC Mizal anggap 'dibisukan' hanya sebahagian permainan TTMM

“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan palsu. Jika tidak ada permohonan maaf, tindakan undang-undang akan diambil,” tegasnya.

Tambahnya lagi, isu lagu yang dibangkitkan dianggap tidak relevan memandangkan tiada sebarang pengumuman dibuat mengenai senarai lagu yang akan dipersembahkan kelak.

“Saya belum pun umumkan lagu apa yang akan dinyanyikan. Mungkin saya nyanyi lagu bahasa Inggeris, India atau Cina. Jadi mengapa isu ini diperbesar-besarkan?” katanya.

Sementara itu, AC turut mengakui bahawa kontroversi ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada jualan tiket konsert yang sebelum ini telah mencapai 70 peratus.

Dalam pada itu, anggota kumpulan 4U2C, Azam, menafikan dakwaan Man Senoi bahawa kesemua lagu dalam koleksi 4U2C adalah miliknya.

“Sebagai ahli MACP sejak 1992, saya tahu bukan semua lagu adalah milik beliau. Dalam album pertama, hanya tiga lagu sahaja ciptaan Man Senoi. Lagu hit kebanyakannya adalah ciptaan ahli kumpulan sendiri,” jelas Azam.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan Man Senoi yang mengatakan tidak dihubungi untuk mendapatkan kebenaran terhadap bahan rakaman di bawah syarikat Zman Productions sebelum konsert diumumkan.

Untuk rekod, 4U2C pernah menjadi artis rakaman Zman Productions sebelum hubungan antara kedua-dua pihak terlerai selepas album kedua mereka, yang turut membawa kepada pertikaian mahkamah dan kemenangan berpihak kepada Zman Productions.

Konsert WE 4U2C Live In Concert dijangka menjadi detik penuh nostalgia buat peminat muzik hip hop tanah air yang membesar dengan lagu-lagu popular kumpulan tersebut, termasuk Fiona, Kami Rappers dan Video Game.

Ahmad Naufal
Ahmad Naufal
ahmadnaufal@portalmyberita.com

TRENDING

KJ cadang GST dikembalikan, nama ‘Madani Tax’ pun boleh

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berpandangan...

Malaysia perkukuh peranan ASEAN hadapi krisis tenaga global – Anwar

KUALA LUMPUR - Malaysia terus komited memperkukuh peranan dalam...

“Pahang wajar diberi layanan saksama” – Tengku Hassanal

KUANTAN - Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan harapan...

Pemandu van didakwa pandu melulu hingga ragut nyawa kanak-kanak mengaku tidak bersalah

BATU PAHAT - Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah...

Pelajar tingkatan empat maut disyaki terkena renjatan elektrik ketika ambil wuduk

MUKAH - Seorang pelajar Tingkatan Empat maut manakala seorang...