SEREMBAN – Tidak biasa dan menganggap pemakaian tali pinggang keledar sebagai remeh antara alasan diberikan tujuh penumpang bas yang dikompaun dalam operasi khas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan di sini bermula semalam.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesemua individu berusia 19 tahun ke atas itu dikenakan kompaun RM300 setiap seorang kerana gagal mematuhi peraturan baharu mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang bas.
Katanya, kesalahan itu dikesan terhadap penumpang yang menaiki bas dari Seremban ke destinasi di selatan tanah air pada waktu siang.
“Alasan tak pakai tali pinggang keledar yang kita terima, pertama adalah tidak biasa dan tak pernah pakai, kedua mereka merasakan pemakaian tali pinggang keledar ini adalah sesuatu yang remeh,” katanya dalam sidang akhbar di Terminal One Seremban, hari ini.
Beliau menegaskan, JPJ akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan di terminal bas serta hentian rehat di seluruh negeri bagi memastikan keselamatan penumpang dipertingkatkan.


