Satu bas bau rokok, pemandu ‘sound’ penumpang degil

KUALA LUMPUR – Seorang penumpang bas ekspres menerima teguran tegas daripada pemandu selepas dipercayai menghisap rokok dan membasuh tangan di lantai kenderaan awam tersebut.

Video kejadian itu dimuat naik menerusi akaun TikTok Jhonlabu86 yang juga milik pemandu bas berkenaan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Selain menghisap rokok, penumpang terbabit turut mengaku perbuatannya membasuh tangan sehingga menyebabkan lantai bas menjadi basah dan kotor.

“Jangan hisap rokok dalam bas bang, bas saya ada kamera bang. Satu bas bau rokok bang. Sampai sepah-sepah air tu, kenapa tu bang. Mana boleh basuh tangan dalam bas bang.

“Dengan abang hisap rokok lagi bang, bas saya ada CCTV (televisyen litar tertutup) bang. Aircond (penyaman udara) tu bang semua orang bau. Sekali lagi bang, ada CCTV tahu,” tegasnya.

Penumpang tersebut akhirnya mengakui kesalahan berkenaan serta menerima teguran daripada pemandu.

Ruangan komen di media sosial pula dibanjiri pelbagai reaksi yang rata-ratanya menyebelahi tindakan pemandu bas itu.

“Tengok muka pakcik ni macam kesian, eh tapi aku geram! Kalau aku dalam bas tu memang aku suruh driver stop sampai hilang bau rokok,” komen seorang pengguna.

“Patut panggil dia bersihkan… siap ada pelancong luar negara, perangai memalukan,” kata seorang pengguna.

“Mana-mana bas pun rasanya akan marah kalau penumpang merokok… jangan kata merokok, makan minum tumpah dalam bas pun orang dah hangin. Nak kena mop lantai tu lagi, macam-macam perangai penumpang,” ujar seorang pengguna.

BACA JUGA:  Kerajaan tawar rebat tunai 30 peratus untuk syarikat filem tempatan
Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com