Jumaat | 14 November 2025
spot_img

Dukes tak kejar populariti, hanya mahu muzik mereka dihargai

SHAH ALAM – Bermula sebagai hobi sewaktu bergelar pelajar, kumpulan muzik tempatan, Dukes, kini melangkah ke pentas yang lebih besar dengan semangat jitu dan semangat persahabatan yang utuh.

Ditubuhkan pada Oktober 2022, kumpulan ini terdiri daripada lima ahli iaitu Ziyad (Vokalis), Rayyan (Lead Guitarist), Cheng Wei (Drummer), Umar (Bassist) dan Hazim (Rhytm Guitarist), yang kesemuanya merupakan pelajar institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaya (UM), Taylor\’s University dan HELP University.

Walaupun sibuk dengan tempoh pengajian, mereka gigih mencuri masa untuk berkarya dan membuat persembahan secara aktif.

\"2\"

“Dukes ni kita dah nak sampai tiga tahun. Mula-mula dulu kami semua dari YTM Dengkil, kecuali Ceng yang saya ajak sebab dia kawan sekolah saya,” kongsi salah seorang anggota kumpulan ini ketika ditemui MYBERITA selepas membuat persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, pada Rabu.

Nama ‘Dukes’ sendiri dipilih secara spontan selepas mereka melalui Highway Duke dalam perjalanan pulang daripada persembahan pertama mereka.

Kini di bawah naungan Alternate Records yang berkerjasama dengan Media Prima dan pengedaran oleh Universal Music, Dukes semakin dikenali dalam kalangan peminat muzik indie dan arus perdana. Mereka telah tampil dalam pelbagai jenis persembahan dari acara festival seperti Pesta Pora di Bukit Jalil, hinggalah ke pentas underground dan pusat membeli-belah.

“Kita orang tak nak bersaing pun. Semua band ada identiti sendiri. Kita patut saling sokong dan bantu naikkan industri muzik tempatan,” tegas mereka. Dukes turut menyebut band seperti Empty Page yang turut membawa warna berbeza dalam muzik Malaysia.

Dukes juga menekankan bahawa mereka berkarya dengan jujur, hasil daripada pengalaman dan pemerhatian peribadi.

“Kalau tulis dari pengalaman, lagu tu ada jiwa. Muzik adalah cara kami luahkan rasa macam pelukis dengan lukisan.”

Kini, mereka sedang bersedia untuk melancarkan album sulung menjelang hujung tahun ini, yang akan mengandungi 16 lagu, termasuk single “Bila Kedatang Menangis” yang sudah dipersembahkan secara langsung baru-baru ini.

Walaupun sibuk sebagai pelajar, mereka tetap meletakkan muzik sebagai keutamaan.

“Asalkan passion tu ada, tak kisah duit dapat atau tak. Duit tu bonus. Yang penting, kita ingat kenapa kita mula buat muzik.”

Dukes turut berkongsi pengalaman mereka bekerjasama dengan nama besar seperti Taja dan AG Coco, sambil menyatakan keterbukaan mereka untuk terus belajar daripada penggiat muzik berpengalaman.

Dengan semangat setiakawan, keikhlasan dalam berkarya dan sokongan peminat, Dukes bersedia untuk melakar nama mereka dalam landskap muzik tanah air.

Mereka boleh diikuti di media sosial melalui Instagram dan TikTok: @dukes.my untuk maklumat terkini mengenai persembahan, muzik baharu dan perkembangan kumpulan.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan