PETALING JAYA – Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia (PPHM) akan menganjurkan Konvensyen Hokkien ASEAN Tahun 2025 buat pertama kali pada 28 Ogos depan bertempat di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.
Konvensyen ini akan menampilkan beberapa acara utama termasuk Forum Pembangunan Potensi ASEAN yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 pagi, diikuti dengan Majlis Perasmian Muzium Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia.
Kemuncak program pula ialah Majlis Makan Malam Gala sempena Anugerah Keusahawanan Hokkien Malaysia 2025 yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Presiden PPHM, Tan Sri Ir. Lim Hock San, berkata persidangan ini dianjurkan sempena Malaysia memegang jawatan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
“Ini adalah satu penghormatan bukan sahaja di pentas diplomatik, ekonomi dan kebudayaan, malah ia turut mempamerkan perpaduan komuniti Hokkien serta potensi besar usahawan kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim Hock San yang juga Presiden Gabungan Persatuan Fujian ASEAN pertama, berharap konvensyen ini mampu memberi manfaat strategik seperti merangsang pemulihan sektor pelancongan dan perkhidmatan tempatan melalui kehadiran wakil dari pelbagai negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa persidangan itu bakal membuka peluang pelaburan dan kerjasama perniagaan, serta mengukuhkan hubungan antara negara-negara ASEAN, China dan komuniti Hokkien di peringkat antarabangsa.
“Saya juga berharap agar konvensyen ini dapat meningkatkan daya saing produk dan syarikat tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan global, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” ujarnya.


