Saturday, 25 July 2026
spot_img
PolitikUMNO tegas perjuang nasib Najib secara tertib, berperlembagaan

UMNO tegas perjuang nasib Najib secara tertib, berperlembagaan

GEORGE TOWN – UMNO tidak pernah melupakan jasa bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah terus komited memperjuangkan nasib beliau menerusi saluran yang tertib dan selaras dengan perlembagaan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung titah adendum baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa parti itu kekal konsisten memperjuangkan isu berkenaan secara berhemah, dengan penuh hormat terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

“Presiden parti (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) tidak pernah melupakan jasa Najib. Sudah tentu kita mahukan keadaan yang baik untuk mantan Presiden.

“Tetapi dalam hal ini, kita faham dan akur bahawa ia berada dalam ruang kuasa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gelugor, pada Ahad.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan penuh hikmah adalah penting agar sebarang kenyataan atau tindakan terhadap institusi diraja tidak disalah tafsir sehingga merosakkan imej UMNO sebagai parti yang selama ini menjadi pelindung utama institusi beraja.

“Tidak ada siapa yang boleh menyaingi kehebatan dan semangat tinggi UMNO dalam soal mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Kita hormat sistem dan kita guna kebijaksanaan untuk terus memperjuangkan apa yang benar, termasuk soal Najib,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyeru ahli UMNO untuk kekal bersatu dan fokus kepada agenda memperkukuh parti demi rakyat dan negara.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-