KUALA LUMPUR – Satu hantaran ringkas tetapi penuh misteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman sosial rasminya sebentar tadi mencetuskan tanda tanya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dalam hantaran berkenaan, Anwar hanya menulis sepatah perkataan: “Nantikan…” diikuti sebuah poster yang mengundang spekulasi pelbagai pihak.
Poster tersebut menyatakan satu bentuk penghargaan luar biasa bakal diumumkan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Akan datang, suatu penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku.” – petikan pada poster.
Walaupun butiran lanjut masih belum didedahkan, sumber memaklumkan bahawa pengumuman tersebut dijangka dibuat dalam tempoh terdekat, dan dipercayai melibatkan inisiatif berskala besar kerajaan yang menyentuh kepentingan rakyat secara menyeluruh.
Hantaran itu pantas meraih perhatian warga maya dengan ribuan tanda suka dan komen yang rata-rata meluahkan rasa ingin tahu dan teruja terhadap pengumuman yang bakal dilakukan.
Tidak kurang juga yang membuat pelbagai andaian termasuk kemungkinan bantuan baharu, program kebajikan atau inisiatif khas menjelang pembentangan Belanjawan Tambahan.
Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjelaskan maksud sebenar hantaran tersebut.

