PETALING JAYA – Raut wajah sugul dan mata yang kelihatan bengkak seperti baru selesai menangis menggambarkan kesedihan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, sejurus keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Meskipun mengenakan pelitup muka, kesedihan wanita berusia 30 tahun itu jelas terpancar dari sorot matanya, selepas diperintah membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak autistik mereka dua tahun lalu.
Dalam prosiding pagi tadi, suaminya Zaim Ikhwan Zahari, yang turut berusia 30 tahun, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Ismanira, namun gagal membuktikan kes terhadap Zaim Ikhwan.
Sekitar pukul 12.35 tengah hari, pasangan itu dilihat keluar dari pintu utama mahkamah dalam keadaan tenang, dengan Zaim Ikhwan memimpin tangan isterinya menuju ke kafeteria untuk berehat seketika. Beberapa ahli keluarga turut menemani mereka menjamu makanan tengah hari sementara menanti sambungan perbicaraan pada sebelah petang.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak memberikan sebarang kenyataan atau sapaan kepada wakil media yang sejak awal pagi ‘berkampung’ di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi mengikuti perkembangan kes berprofil tinggi itu.
Kes ini terus menarik perhatian masyarakat susulan kematian tragik Zayn Rayyan yang pernah menggemparkan negara.

