KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki memandu melawan arus membawa padah apabila dia ditahan selepas terlibat kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Jalan Dato Abu Bakar 16/1, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.15 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pukul 11.28 pagi apabila sebuah kenderaan jenis Honda CR-V berwarna merah dipandu secara melawan arus sebelum terlibat kemalangan dengan beberapa kenderaan lain yang melalui jalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut beliau, kesemua pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Tambahnya, pemandu Honda CR-V itu iaitu lelaki tempatan berjaya ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammad Najib Mohd. Azaman di talian 012-3526147 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan lanjut.

