KUALA LUMPUR – Siapa sangka, seorang graduan undang-undang dari Universiti Malaya (UM), Hazim Osman, 22, kini giat melakar langkah baharu dalam dunia muzik bersama kumpulan band yang ditubuhkannya bersama rakan-rakan kampus.
Anak kelahiran Tawau, Sabah itu berkongsi bahawa minatnya terhadap muzik bermula sejak kecil, apabila mula bermain gitar semata-mata untuk menarik perhatian seorang gadis. Namun siapa sangka, dari perasaan suka-suka, ia berubah menjadi cinta sejati terhadap seni muzik.
“Dulu saya selalu buat cover lagu dan main gitar dekat Instagram saja. Tak pernah bayang pun diri akan berada dalam band,” katanya ketika ditemui MYBERITA baru-baru ini.
Menurut Hazim, pertemuannya dengan rakan-rakan seperti Ryan dan Umar ketika melanjutkan pengajian di UM telah membuka laluan untuknya menyertai sebuah kumpulan muzik.
Meskipun cabaran utama ialah mengimbangi antara jadual kelas undang-undang yang padat dan latihan muzik, Hazim tetap berpegang kepada disiplin dan keutamaan.
“Transition tu tak susah, cuma nak balance antara dua dunia ni memang sangat mencabar. Kursus undang-undang pun berat, banyak benda kena baca dan faham,” ujarnya.
Tambah Hazim, hubungan erat dengan rakan seband turut membantu dalam mencipta karya bersama.
“Kami tulis lagu sama-sama, dan setiap idea yang diberi saling dihormati. Chemistry antara kami sangat baik.”
Namun, kehidupan sebagai anak perantau dari Sabah tidaklah semudah yang disangka. Rindu terhadap keluarga yang jauh serta kekangan masa untuk pulang sering kali menjadi cabaran emosi buatnya.
“Kadang tengok kawan-kawan senang nak balik rumah sebab parents dekat KL atau Seremban. Saya pula kena rancang awal-awal kalau nak balik Tawau,” katanya yang kini sibuk dengan sesi rakaman album pertama kumpulan mereka.
Biarpun keluarganya bukan berlatar belakang muzik secara formal, suasana rumah yang gemar berkaraoke menjadi antara pencetus awal minat terhadap nyanyian.
Hazim mengakui, pada mulanya ibu bapanya agak ragu-ragu dengan keputusannya untuk mengejar kerjaya dalam bidang muzik dan bukannya undang-undang. Namun beliau yakin bahawa dengan strategi yang betul dan sokongan yang berterusan, impian itu tidak mustahil untuk dicapai.
“Saya harap muzik ni boleh jadi sumber pendapatan utama satu hari nanti. Tapi kerjaya sebagai peguam tetap akan saya simpan untuk bantu sokong diri sendiri dan band juga,” katanya penuh yakin.
Hazim kini dalam misi mencipta muzik yang lebih asli dan menyentuh jiwa, terutamanya dalam genre R&B dan balada.


