JAKARTA – Harapan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara untuk mara ke separuh akhir Piala ASEAN B-23 2025 berkecai selepas sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.
Malaysia yang memerlukan kemenangan minimum 3-0 untuk cerah ke peringkat kalah mati, gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah yang tampil lebih dominan sepanjang perlawanan.
Dalam aksi yang sengit itu, ketua jurulatih negara, Nafuzi Zain mempertaruhkan barisan terkuat dengan meletakkan trio serangan, Fergus Tierney, Haqimi Azim dan Alif Izwan Rosli bagi mencari gol awal. Namun, skuad Garuda Muda mempamerkan penguasaan bola hampir 70 peratus pada separuh masa pertama sekali gus menyukarkan usaha Malaysia untuk mencipta sebarang ancaman berbahaya.
Memasuki babak kedua, Indonesia terus memberi tekanan dan hampir membuka tirai jaringan menerusi beberapa percubaan penyerang utama mereka, Jens Ravven, namun semuanya berjaya dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol negara.
Tindakan Nafuzi melakukan rombakan taktikal dengan memasukkan Abdul Rahmad Daud dan Danish Syamer pada separuh masa kedua bagi menyuntik tenaga baharu juga tidak membuahkan hasil apabila keputusan kekal 0-0 sehingga tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan A dengan empat mata, di belakang Filipina yang mengumpul enam mata selepas menewaskan Brunei 2-0, manakala Indonesia muncul juara kumpulan dengan tujuh mata.
Skuad muda Harimau Malaya pulang hampa meskipun Nafuzi sebelum ini menyasarkan pasukan untuk berada dalam kelompok empat terbaik kejohanan edisi kali ini.

