Jumaat | 14 November 2025
spot_img

[VIDEO] Iman Kamil tuntut penjelasan Tealive isu kebocoran data peribadi pelanggan

KUALA LUMPUR — Pempengaruh media sosial, Iman Kamil, tampil mendesak pihak pengurusan Tealive memberi penjelasan segera berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi pelanggan selepas beliau mendakwa maklumat aduannya telah disalahguna oleh individu tidak dikenali.

Dalam satu video berdurasi lebih dua minit yang dimuat naik di akaun media sosial miliknya, Iman, 29, meluahkan rasa kecewa terhadap kelemahan sistem perlindungan data pelanggan oleh Tealive yang disifatkannya sebagai “lemah” dan “tidak profesional”.

“Aku nak tanya HQ Tealive, siapa kat sini? Tolong jawab. Macam mana data peribadi aku senang-senang boleh jatuh ke tangan orang lain?” katanya dalam nada kesal.

Menurut Iman, beliau telah membuat aduan rasmi kepada pihak ibu pejabat Tealive melalui WhatsApp berkaitan mutu perkhidmatan di sebuah cawangan. Namun, aduan tersebut didakwa kemudiannya diketahui oleh seorang individu tidak dikenali yang menghantar mesej menyerangnya secara peribadi, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana maklumat sulit itu boleh tersebar.

“Aku tak kenal perempuan tu, tapi dia boleh tahu isi laporan aku. Dia serang aku, pertahankan staf Tealive. Soalnya, macam mana dia boleh dapat maklumat tu?” soalnya lagi.

Iman turut mempersoalkan etika kerja kakitangan di cawangan terbabit yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk tidak memakai penutup kepala dan leka bermain telefon ketika bertugas.

Tambahnya, isu ini bukan semata-mata tentang layanan buruk, tetapi lebih serius kerana melibatkan keselamatan maklumat pengguna.

“Kalau aku buat aduan rasmi, bukan untuk viralkan. Tapi macam mana data tu boleh bocor? Kalau macam ni, baik tak payah meniaga,” katanya.

Setakat ini, pihak Tealive masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen terhadap tahap keselamatan maklumat peribadi pengguna di syarikat makanan dan minuman terkenal itu, sekali gus mendesak tindakan segera bagi menjaga integriti serta kepercayaan pelanggan.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan