PETALING JAYA – Perbualan WhatsApp antara Ismanira Abdul Manaf dan suaminya yang tular sebelum ini dianggap sebagai gurauan kasar tanpa niat jahat, demikian keterangan yang diberikan oleh seorang pakar psikologi kanak-kanak di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Saksi pembelaan kelima, Dr. Noor Aishah Rosli, 49, berkata, mesej yang dihantar Ismanira kepada suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, adalah luahan emosi dalam hubungan suami isteri, bukan satu bentuk ancaman atau niat untuk menyakiti.
“Perbualan ini menampakkan luahan perasaan antara pasangan suami isteri. Meskipun ayat-ayatnya kelihatan kasar, ia hanya bersifat ‘surface’, cakap-cakap kosong yang tidak serius,” katanya ketika memberi keterangan.
Antara mesej yang disebut dalam prosiding ialah ‘Lantaklah nak hidup ke nak mati’,’Kau je satu-satu orang aku boleh lepas segala benda, marah ke, stres ke’.
Menurut Dr. Noor Aishah, mesej-mesej tersebut mencerminkan usaha mendapatkan perhatian daripada pasangan dan bukan satu bentuk penderaan emosi.
“Ia adalah ayat yang biasa bagi seseorang ibu yang menjaga anak autistik dan sedang mengalami tekanan emosi,” jelasnya lagi.
Semasa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan, Dr. Noor Aishah turut bersetuju bahawa ayat seperti ‘Lantaklah nak hidup ke nak mati’ masih boleh dianggap normal dalam konteks emosi pasangan suami isteri.
Tertuduh, Ismanira, 30, berdepan pertuduhan mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023 di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman dan sungai berdekatan, Damansara Damai.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Ismanira diwakili oleh barisan peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, bersama Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

