PUTRAJAYA – Kumpulan Syarikat KRU, menerusi anak syarikatnya Kruniverse Sdn Bhd, menjalin kerjasama strategik dengan Unity Trust Berhad bagi memperluas cabang perniagaan hospitaliti dan gaya hidup di Shah Alam serta Klang.
Usaha itu dilihat sebagai langkah penting dalam merealisasikan visi jangka panjang Kruniverse untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam industri pelancongan berteraskan hiburan dan teknologi.
Presiden Lembaga Pengarah Kruniverse, Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin Y.A.M. Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj, berkata pengembangan ini akan memanfaatkan kekuatan harta intelek KRU, teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan reputasi jenama yang kukuh.
“Kami berada di masa dan tempat yang tepat untuk mengembangkan tawaran hospitaliti serta gaya hidup, seiring potensi besar sektor pelancongan hiburan di negara ini,” katanya.
Pelan tersebut dijangka melibatkan pelaburan bernilai RM50 juta dalam tempoh tiga tahun, dengan pembiayaan melalui mekanisme inovatif.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Corp Sdn Bhd, Dato’ Norman Abdul Halim, menegaskan kerjasama dengan Unity Trust akan memperkukuh aspek tadbir urus, ketelusan dan perlindungan kepentingan pemegang saham.
“Matlamat kami bukan sekadar meningkatkan pengalaman pengunjung, malah membina ekosistem mampan yang memberi impak positif kepada perniagaan dan komuniti tempatan,” ujarnya.
Unity Trust Berhad akan bertindak sebagai rakan tadbir urus bebas yang mengawasi kepatuhan, tanggungjawab fidusiari dan perlindungan pelabur.
Ketua Pegawai Eksekutif Unity Trust, Syed Sadiq Obaidi Albar Syed Hamid, berkata kerjasama ini menjadi landasan bagi Kruniverse berkembang daripada perniagaan milik keluarga kepada organisasi mampan yang ditadbir secara profesional, dengan potensi penyenaraian awam pada masa depan.
Projek pertama hasil kerjasama ini dijadualkan dilancarkan pada November 2025, menandakan fasa baharu dalam perjalanan perniagaan Kruniverse.


