NILAI – Suasana Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai hari ini dimeriahkan dengan gelagat spontan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau ‘merampas’ telefon bimbit seorang wartawan yang sedang membuat liputan.
Insiden mencuit hati itu berlaku sekitar jam 10.45 pagi ketika pengamal media sedang berhimpit-himpit untuk mendapatkan rakaman terbaik kehadiran Perdana Menteri di lokasi berkenaan.
Menurut wartawan terbabit, Nur Shafiqah Mohd Ghazali, beliau tidak menyangka akan menjadi perhatian Anwar yang secara tiba-tiba mengambil telefonnya seakan-akan seorang guru disiplin.
“Tanpa diduga ketika hampiri saya, beliau secara tiba-tiba mengambil telefon saya seakan-akan guru disiplin. Saya ingatkan saya melakukan kesalahan, tetapi rupanya dia sekadar ingin bergurau sahaja.
“Telefon saya kemudiannya dikembali. Ini kejadian pertama berlaku,” katanya.
Aksi santai Perdana Menteri itu turut mencuri perhatian ramai termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mengiringi beliau sepanjang program.
Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dengan pelbagai pengisian melibatkan penyampaian dasar kerajaan, khidmat komuniti, pameran serta ruang interaksi bersama masyarakat.

