KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia kini berada dalam kategori Bahagia berdasarkan Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) 2024 dengan skor keseluruhan 7.60 mata, menurut dapatan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Laporan itu menunjukkan hampir semua aspek kehidupan rakyat Malaysia mencapai tahap Bahagia dan Sangat Bahagia.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian tersebut ialah Keagamaan dan Kerohanian (8.69), Keluarga (8.64), Penggunaan Masa (7.82), Pendidikan (7.81), Kesihatan (7.79), Perumahan dan Alam Sekitar (7.67) serta Persekitaran Kerja (7.58).
Dari segi taburan jantina, wanita dilihat lebih bahagia berbanding lelaki apabila mencatatkan skor 7.62 berbanding 7.57.
Sementara itu, mengikut taburan negeri, tiga negeri mencatatkan skor Sangat Bahagia iaitu Terengganu (8.64), Johor (8.08) dan Negeri Sembilan (8.01). Negeri-negeri lain pula kekal dalam kategori Bahagia.
DOSM memaklumkan bahawa pencapaian ini mencerminkan keseimbangan kualiti hidup rakyat Malaysia merangkumi pelbagai aspek kehidupan harian, termasuk nilai kekeluargaan, tahap kesihatan, pendidikan serta kesejahteraan persekitaran.

