Jumaat | 14 November 2025
spot_img

UM tegas UMANY tidak wakili pendirian rasmi universiti

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menegaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh pertubuhan pelajar University of Malaya Association of New Youth (UMANY) berhubung isu sistem matrikulasi baru-baru ini tidak mencerminkan pendirian rasmi universiti berkenaan.

Naib Canselor UM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, walaupun pihak universiti sentiasa menghormati kebebasan bersuara dalam kalangan warga kampus, namun suara yang dibawa oleh UMANY tidak mewakili UM secara institusi.

“UM menjunjung tinggi semangat keterbukaan dan intelektualisme, namun kebebasan ini perlu datang bersama tanggungjawab serta kepekaan terhadap sensitiviti masyarakat, terutama yang membabitkan dasar awam,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menegaskan bahawa sistem matrikulasi yang diamalkan negara telah terbukti menyediakan akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang, malah menjadi instrumen penting dalam usaha kerajaan memastikan peluang pendidikan lebih inklusif dan adil untuk semua.

Katanya, UM kekal komited mendukung dasar pendidikan negara yang berteraskan keadilan, kebolehcapaian dan pembangunan modal insan demi kemajuan negara.

Kenyataan tegas itu hadir selepas UMANY mengeluarkan pandangan yang mencetuskan polemik awam, sekali gus mengundang perhatian masyarakat terhadap peranan suara mahasiswa dan sempadan kebebasan bersuara di institusi pengajian tinggi.

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITA
admin@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan