Thursday, 23 July 2026
spot_img
NasionalUPBMG syarat baharu guru ajar Bahasa Melayu - KPM

UPBMG syarat baharu guru ajar Bahasa Melayu – KPM

PETALING JAYA – Guru yang bukan opsyen Bahasa Melayu (BM) tetapi mengajar subjek itu di sekolah kini diwajibkan menduduki Ujian Penguasaan Bahasa Melayu Guru (UPBMG) bagi memastikan kemahiran bahasa mereka memenuhi piawaian kebangsaan.

Menurut satu pekeliling Kementerian Pendidikan, ujian berkenaan melibatkan guru tetap yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya setahun serta mempunyai baki tiga tahun perkhidmatan sebelum bersara.

“Ujian ini bukan sahaja terhad kepada guru sekolah kerajaan, tetapi turut merangkumi guru di sekolah pendidikan khas, institusi vokasional, kolej Tingkatan Enam serta institut pendidikan guru,” kata kementerian itu.

Instrumen ujian disediakan Majlis Peperiksaan Malaysia berdasarkan Kurikulum Standard Bahasa Melayu, yang menjadi rujukan kompetensi penggunaan bahasa di peringkat kebangsaan, serantau dan global.

Bagi guru bukan opsyen BM, mereka perlu mencapai sekurang-kurangnya Tahap 4 daripada enam tahap penilaian. Tahap ini menandakan kebolehan merumus idea daripada teks kompleks menggunakan bahasa dan wacana yang sesuai. Mereka yang lulus akan diberi keutamaan untuk mengajar subjek BM.

Kementerian menambah, yuran pertama kali menduduki ujian itu akan ditanggung kerajaan. Bagaimanapun, calon yang gagal perlu menanggung sendiri kos bagi ujian ulangan.

Bagi guru opsyen BM pula, UPBMG turut dibuka kepada mereka tetapi dengan pembiayaan sendiri. Mereka diwajibkan mencapai sekurang-kurangnya Tahap 5, yang menunjukkan keupayaan menilai maklumat daripada pelbagai sumber menggunakan bahasa yang tinggi dan berlapis.

Guru BM yang mencapai Tahap 5 akan diutamakan untuk peranan penting seperti pembangun kurikulum, penilai, fasilitator pengajaran dan pembelajaran, serta boleh dilantik sebagai pembina item atau pemeriksa kertas peperiksaan awam, penilai buku teks dan bahan pengajaran, selain layak menerima Anugerah Latihan Persekutuan.

Pekeliling itu turut menegaskan bahawa guru yang ditanggung kementerian tidak dibenarkan menarik diri atau menunda tarikh ujian selepas mendaftar.

Jika mereka gagal hadir selepas mendaftar, tindakan tatatertib boleh dikenakan dan direkodkan dalam Buku Rekod Perkhidmatan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Bagi penangguhan atau penarikan diri, guru perlu mengemukakan alasan kukuh bagi mendapatkan kelulusan daripada Institut Pendidikan Guru,” katanya.

Peraturan ini bagaimanapun tidak terpakai kepada calon yang membiayai sendiri penyertaan mereka.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-