KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat insiden mencemaskan apabila kira-kira 20 penunggang motosikal didakwa mengejar sebuah kereta jenis Perodua Myvi di kawasan Plaza Tol Batu 13, Puchong, awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, laporan dibuat oleh seorang lelaki berusia 52 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada jam kira-kira 4 pagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak kami sedang mengenal pasti serta mengesan semua penunggang motosikal yang terlibat. Ketika ini, polis sedang meneliti motif sebenar insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan sekumpulan penunggang motosikal yang bertindak mengepung kenderaan mangsa namun tujuan tindakan itu masih belum dipastikan.
Tambahnya, usaha mengesan semua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, tular rakaman berdurasi 29 saat memaparkan sebuah kereta Myvi dipandu pengadu dikelilingi penunggang motosikal berhampiran plaza tol berkenaan.
Dalam video tersebut, kumpulan motosikal itu dilihat bergerak rapat di kedua-dua sisi serta bahagian hadapan kereta seolah-olah cuba menghalang laluan kenderaan berkenaan.
Insiden itu turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan pengguna jalan raya apabila berdepan situasi sedemikian.

