Selasa | 4 November 2025
spot_img

Karnival sukan GMI pupuk semangat kesukanan dalam kalangan pelajar

BANGI – Semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan pelajar semakin menyerlah menerusi penganjuran Mini Carnival Sports GMI 2025 yang berlangsung meriah di Kompleks Sukan German-Malaysian Institute (GMI) di sini, hari ini.

Karnival anjuran Majlis Perwakilan Pelajar itu menyaksikan penyertaan pelajar dari pelbagai jurusan termasuk Computer Information, Mechanical Engineering dan Electrical Technology, yang bersaing dalam beberapa acara sukan utama seperti bola jaring, futsal dan bola tampar.

Menurut salah seorang peserta, Muhammad Fadhli, pelajar semester tiga jurusan Creative Multimedia, penyertaan dalam karnival tersebut bukan sekadar untuk bersaing, tetapi juga sebagai medium untuk mengeratkan hubungan antara pelajar daripada pelbagai latar belakang.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu kami mengimbangi tekanan belajar dengan aktiviti sihat. Ia juga mendidik kami tentang nilai kerjasama dan semangat berpasukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, penganjuran karnival berkenaan ialah untuk memupuk gaya hidup sihat dan menggalakkan penyertaan aktif pelajar dalam aktiviti luar bilik kuliah, sejajar dengan usaha GMI melahirkan graduan seimbang dari segi akademik dan sahsiah.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) German-Malaysian Institute (GMI), Ahmad Solihin Mohamed Yusoff, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua peserta dan penganjur atas kejayaan menjayakan karnival berkenaan.

Mini Carnival Sports GMI 2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi simbol semangat kesukanan, perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga GMI yang menjadi manifestasi bahawa kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui akademik, tetapi juga melalui kekuatan semangat berpasukan.

Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan