BURIRAM – Pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah memastikan semangat kebangsaan terus berkumandang di Litar Chang International Circuit, Buriram apabila beliau mempamerkan tunggangan garang untuk menjuarai Perlumbaan 1 kelas elit ASB1000 dalam Pusingan 6 FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) hari ini.
Kemenangan dramatik itu bukan sahaja menjadi milik Malaysia, malah membolehkan bekas pelumba MotoGP ini merampas kedudukan pendahulu keseluruhan kejuaraan daripada pencabar terdekat pelumba tuan rumah, Nakarin Atiratphuvapat.
Bermula dari petak lima, Hafizh terpaksa mengerah seluruh kudratnya untuk mengejar kelompok hadapan kelompok yang dibarisi pelumba tuan rumah Nakarin, pelumba dari Indonesia, Andi Farid Izdihar dan pelumba Jepun, Keito Abe.
Namun keberanian dan taktikal tepat Hafizh terutama manuver pintasan di pusingan terakhir membolehkan beliau menyambar kedudukan pertama dengan meninggalkan Andi dan Keito untuk bergelar naib juara dan tempat ketiga masing-masing.
Dengan kemenangan ini, Hafizh kini menerajui carta pelumba keseluruhan, mengumpul 173 mata lapan mata di hadapan Nakarin yang kini berada di tangga kedua dengan 165 mata.
Mengulas mengenai kejayaannya, Hafizh mengakui terkejut dengan rentak tunggangannya hari ini memandangkan pasukannya menghadapi banyak masalah semasa sesi latihan semalam.
“Kami bercuba banyak perkara sewaktu latihan. Kami gagal perbaiki sektor terakhir. Tapi pagi ini kami berjaya rapatkan jurang walaupun masih belum cukup. Jadi sewaktu perlumbaan, saya ubah sedikit laluan. Saya tahu jentera saya kuat di sektor kedua; jadi saya mahu berada di depan Andi pada pusingan terakhir kemudian serang Nakarin di tempat sama. Strategi itu menjadi,” katanya.
Kemenangan ini bukan sahaja bukti semangat juang tinggi pelumba negara, tetapi juga memberi sinar kebanggaan dengan bunyi “Negaraku” di podium utama Buriram.

