Khamis • 22 Januari 2026

KTMB sediakan perkhidmatan khas komuter 24 jam sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan khas KTM Komuter secara intensif selama 24 jam bermula 30 Januari hingga 2 Februari 2026 sempena perayaan Thaipusam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan khas itu akan beroperasi selama empat hari tiga malam dengan keseluruhan 609 perjalanan tren, berbanding 494 perjalanan pada tahun lalu.

“Sebanyak 216 perjalanan tambahan disediakan ke Batu Caves dengan kekerapan setiap satu jam, melibatkan laluan utama Pulau Sebang–Batu Caves serta Pelabuhan Klang–Tanjung Malim,” katanya pada sidang akhbar Perkhidmatan KTM Komuter sempena Thaipusam 2026 di sini, hari ini.

Menurut Anthony, perkhidmatan khas bermula seawal pukul 5.32 pagi pada 30 Januari dan berakhir pukul 12 tengah malam, 2 Februari mengikut laluan yang ditetapkan.

Beliau menambah, penumpang perkhidmatan komuter di Lembah Klang bakal menikmati tambang percuma selama dua hari bermula 31 Januari hingga 1 Februari depan.

“Dua hari ini kos yang ditampung kerajaan hampir RM1 juta. Namun, inisiatif ini diharap dapat memudahkan pergerakan penumpang, khususnya mereka yang ingin ke Batu Caves. Kita tahu ramai penumpang bukan pengguna harian, dan jika perlu membeli tiket, kesesakan di stesen akan bertambah teruk,” jelasnya.

Anthony turut menjangkakan seramai 535,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter sepanjang tempoh perayaan dengan kapasiti penuh mencecah 700,000 penumpang, melibatkan 22 set tren (SCS) serta empat set tren sedia siaga.

Selain itu, Prasarana Malaysia Berhad melalui Rapid KL dan Rapid Penang akan menyediakan perkhidmatan bas shuttle percuma di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Di Kuala Lumpur, sebanyak 30 buah bas shuttle akan beroperasi merangkumi tiga laluan utama iaitu dari Hab Bandar Pasar Seni, LRT Gombak dan MRT Kg. Batu ke Batu Caves, dengan kekerapan setiap 10 minit bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam pada 31 Januari, dan diteruskan sepanjang 24 jam pada 1 Februari.

BACA JUGA:  Mangsa tembak, tetak di Seremban disyaki terlibat kes samun dua negeri

Di Pulau Pinang, 12 bas shuttle percuma akan beroperasi dari jeti ke Adventist dengan kekerapan 20 hingga 60 minit. Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Penang Port Sdn Bhd pula menawarkan perkhidmatan feri percuma pada 31 Januari sehingga 2 Februari dengan lanjutan perkhidmatan sehingga pukul 3 pagi (2 Februari).

Tambah Anthony, pada 1 Februari, pengendali BAS.MY akan menyediakan perkhidmatan tambahan secara percuma di lima bandar iaitu Johor Bahru, Seremban, Ipoh, Kota Setar dan Sungai Petani bagi memudahkan penganut Hindu ke lokasi perayaan di kuil-kuil berdekatan.

spot_img

TRENDING

Permohonan UPUOnline sesi 2026/2027 dibuka 29 Januari

KUALA LUMPUR - Permohonan kemasukan pelajar bagi Sesi Akademik...

RPN 2026–2035: USIM sedia perumahan selesa atasi isu penempatan pelajar

NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut baik...

Tiket ETS untuk cuti Tahun Baru Cina hampir ‘sold out’

KUALA LUMPUR - Tiket bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu...

KDNK terkini catat pertumbuhan 4.9 peratus, melebihi unjuran – PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim...

Peruntukan RM1.1 bilion STR fasa 1 2026 disalur hari ini

KUALA LUMPUR - Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1...