SEREMBAN – Mangsa kejadian tembak dan tetak berhampiran sebuah restoran di Seremban minggu lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa siri kes samun di Negeri Sembilan dan Lembah Klang.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perkembangan itu diketahui selepas polis menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40-an pada 21 dan 22 November lalu bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, keempat-empat suspek kini direman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, susulan pembabitan mereka dalam kejadian serangan yang turut mengaitkan aktiviti kumpulan jenayah.
“Setakat ini seramai 10 saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan. Kita tidak menolak kemungkinan kejadian tembak itu mempunyai kaitan dengan aktiviti kongsi gelap atau geng yang terlibat dalam samun dan dadah. Mereka juga mempunyai rekod jenayah yang banyak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Parit Seberang, di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas dakwaan seorang pemimpin politik yang menyifatkan Negeri Sembilan sebagai negeri yang tidak selamat, Alzafny menegaskan kenyataan tersebut tidak tepat dan tidak berasas.
Menurut beliau, statistik jenayah menunjukkan penurunan ketara bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
“Jenayah harta benda mencatatkan 1,402 kes berbanding 1,473 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Jenayah kekerasan pula menunjukkan penurunan daripada 383 kes pada 2024 kepada 307 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025,” katanya.
Polis terus menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian tembak dan tetak tersebut, termasuk kaitan mangsa dengan sindiket jenayah di dua negeri berkenaan.

