TERENGGANU – Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, semasa lawatan kerja di Terengganu semalam, dibalas dengan pemberian istimewa berupa duit raya dan peranti iPad, hari ini.
Aesha Khadeejah Anuar, 10, dan adiknya, Uwais Al Qarni, 8, turut menerima kelengkapan sekolah serta senaskhah al-Quran yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.
Ibu mereka, Liza Fadzilah Abdul Hamid, 49, berkata, kejadian bermula apabila kenderaan dinaiki mereka terserempak dengan rombongan Perdana Menteri yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
Menurutnya, kedua-dua anaknya meluahkan keinginan untuk bertemu sendiri dengan pemimpin negara itu, lalu beliau mengambil keputusan untuk memandu ke lapangan terbang berkenaan bagi mencuba nasib.
“Mereka sangat teruja apabila tahu kenderaan itu dinaiki Perdana Menteri. Jadi saya cuba bawa mereka ke lapangan terbang untuk penuhi hasrat tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya.
Tambahnya, mereka menunggu hampir sejam sebelum tidak menyangka Anwar Ibrahim sanggup meluangkan masa menyantuni anak-anaknya sebelum berlepas pulang ke ibu negara sekitar jam 10.30 malam.
Terdahulu, Perdana Menteri menerusi perkongsian di Facebook meluahkan rasa tersentuh dengan keikhlasan dua beradik itu yang menghadiahkan duit raya berjumlah RM7 kepadanya dalam pertemuan singkat tersebut.
Aesha Khadeejah, murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, berkata dia dan adiknya memberanikan diri memanggil “Datuk Seri” sebaik melihat Perdana Menteri berjalan menuju pesawat rasmi kerajaan.
“Kami beri RM5 dan RM2, itu duit belanja sekolah kami. Kami beri duit raya sebab masih bulan Syawal,” katanya.
Sementara itu, Abdul Kahar berkata, Perdana Menteri amat tersentuh dengan tindakan spontan dua beradik berkenaan dan berpesan agar mereka terus belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.
Kisah tersebut turut meraih perhatian ramai yang memuji keikhlasan kanak-kanak berkenaan serta menyifatkannya sebagai contoh nilai murni yang wajar dicontohi masyarakat.

