Makanan ‘frozen’ disenarai dalam SARA, 140,000 barangan kini layak dibeli

PUTRAJAYA – Sebanyak 140,000 jenis barangan kini layak dibeli menggunakan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua, termasuk makanan sejuk beku, selepas kerajaan bersetuju meluaskan kategori barangan makanan di bawah bantuan berkenaan.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, penambahan kategori makanan sejuk beku itu menjadikan keseluruhan 15 kategori barangan asas boleh dibeli menggunakan kredit SARA.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, kerajaan bersetuju untuk meluaskan kategori barangan SARA untuk merangkumi makanan sejuk beku (frozen food).

“Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan 15 kategori barangan asas, sekali gus meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli menggunakan kredit SARA kepada 140,000 jenis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MoF, menerusi inisiatif tersebut, isi rumah turut berpeluang menerima bantuan berganda bergantung kepada bilangan ahli dewasa yang layak dalam satu keluarga.

“Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri serta dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima RM400 kredit SARA Untuk Semua secara keseluruhan.

“Ia tidak termasuk bantuan SARA Bulanan sekiranya berkelayakan,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI, beberapa penambahbaikan turut dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan dan fleksibiliti pembelian kepada penerima.

Antara langkah yang diambil termasuk sasaran untuk meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada 10,000 kedai menjelang hujung tahun 2026.

“Selain itu, jarak kedai runcit terdekat bagi penerima juga dikurangkan daripada 10 kilometer kepada 7 kilometer,” katanya.

Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan serta soalan lazim (FAQ) berkaitan SARA Untuk Semua menerusi portal rasmi di https://sara.gov.my.

Dalam pada itu, MoF mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

BACA JUGA:  Harga RON97 naik tiga sen, RON95 dan diesel Sabah-Sarawak kekal

“Sebagai langkah keselamatan, MoF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Wani Adawiyah
Wani Adawiyah
waniadawiyah@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...