RAUB – Lima sekeluarga termasuk pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan mereka maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini awal pagi hari ini.
Mangsa yang terkorban ialah Mohd Awi Muhammad, 56, dan isterinya, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak perempuan mereka, Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14; dan Ruby Azyan Barizah, 10.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.35 pagi.
“Sejurus kerja-kerja pemadaman dijalankan, kita menjumpai kesemua mangsa di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut beliau, semua mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, jentera pertama tiba pada pukul 4.15 pagi dan mendapati sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 40 x 30 kaki persegi telah terbakar.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

