Tragedi subuh ragut keluarga, MARA tampil bela nasib dua beradik

RAUB – Dua beradik yang terselamat dalam tragedi kebakaran yang meragut nyawa seluruh ahli keluarga mereka di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong, awal pagi tadi, ditawarkan sebagai anak angkat oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusinya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau sempat membuat panggilan video bersama Ruby Balqis Mohd Alawi dan Murqam yang kini kehilangan tempat bergantung dalam sekelip mata.

“Melihat wajah anak-anak ini yang menahan tangis namun cuba untuk kuat, benar-benar meruntun hati saya. Rumah musnah. Kasih ibu dan ayah pergi buat selama-lamanya. Begitu berat ujian anak-anak ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, sebentar tadi.

Menurut beliau, kedua-dua beradik itu dinasihatkan supaya terus tabah dan tidak berasa keseorangan walaupun diuji dengan kehilangan besar.

“Saya berpesan kepada mereka supaya terus kuat. Kuat demi arwah ibu dan ayah. Kuat demi masa depan yang masih panjang. Jangan sesekali rasa keseorangan.

“Insya-Allah, MARA akan membantu memastikan pendidikan anak-anak ini tidak terhenti walau sedikit pun. Saya telah menawarkan agar mereka dijadikan anak angkat MARA supaya kebajikan dan pelajaran mereka dipantau sepenuhnya,” ujarnya.

Tambah beliau, secara peribadi beliau turut menawarkan Ruby Balqis sebagai anak angkatnya sendiri dan akan menanggung sepenuhnya kos pengajian sehingga tamat universiti.

“Ini janji saya. Pendidikan mereka tidak boleh terkorban kerana tragedi ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram; barisan kepimpinan UMNO Bahagian Raub serta Bahagian Pendidikan Menengah MARA yang pantas menghulurkan bantuan serta menyelaras tindakan segera.

Beliau turut memaklumkan telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA untuk melaksanakan solat sunat jenazah ghaib di kesemua 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai tanda solidariti dan doa buat mangsa-mangsa kebakaran.

BACA JUGA:  Bekas Naib Canselor USM disamun lepas solat Subuh, terima 15 jahitan di kepala

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Lagu ‘Lala Raya’ didakwa sentuh isu agama, Agy tampil mohon maaf terbuka

KUALA LUMPUR - Penyanyi baharu, Muhammad Affizy Mohd Khairy...

MRSM seluruh negara tunai solat jenazah ghaib hari ini

KUALA LUMPUR – Sebanyak 58 cawangan Maktab Rendah Sains...

Lelaki pandu SUV lawan arus ditahan

PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai...

Penjawat awam Pulau Pinang terima ‘duit raya’ setengah bulan gaji

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan Bantuan Khas...

MCMC sekat akses aplikasi temu janji Grindr, Blued – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan Suruhanjaya...