KUALA LUMPUR – “Tiada bunyi siren, namun dalam sekelip mata keadaan menjadi cemas apabila serpihan peluru berpandu yang dipintas jatuh tepat di kawasan tumpuan pelancong di tengah bandar raya ini,” kata Nurul Ain Haron, rakyat Malaysia yang kini menetap di Ajman.
Nurul Ain, 40, bersama suaminya, warga Palestin, Mohamad Adab Shaat, 36, berkongsi detik mendebarkan selepas serangan udara membabitkan peluru berpandu dari Iran yang disasarkan ke rantau ini berjaya dipintas oleh sistem pertahanan ruang udara Emiriah Arab Bersatu.
Menurut beliau, dua serpihan peluru berpandu yang dipintas dilaporkan jatuh di lokasi ikonik iaitu Palm Jumeirah dan City Walk Dubai, sehingga menyebabkan sebuah hotel di kawasan berkenaan terkena serpihan.
“Setakat ini, kehidupan seharian masih berjalan seperti biasa. Tiada arahan perintah berkurung atau bunyi siren amaran di Dubai. Namun, kebimbangan tetap ada apabila mengetahui ada serpihan yang jatuh di kawasan bandar.
“Malah, berita mengenai Burj Khalifa yang terpaksa dikosongkan turut menambahkan lagi kegelisahan dalam kalangan penduduk di sini. Walaupun keadaan terkawal, suasana mencetuskan rasa tidak tenteram,” katanya.
Tambahnya, maklumat yang diterima menyebut terdapat dua pintasan yang jatuh di Palm Jumeirah dan City Walk, manakala satu sasaran yang tidak sempat dipintas dipercayai menuju ke pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Abu Dhabi.
Nurul Ain yang kini hamil lima bulan turut berdepan ujian apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dilaporkan ditutup sementara susulan ketegangan ruang udara itu.
Keadaan tersebut menyebabkan beliau tidak dibenarkan melakukan sebarang perjalanan udara atas faktor keselamatan serta keadaan kesihatannya yang sedang mengandung.
“Saya tidak dibenarkan terbang memandangkan keadaan semasa dan juga status kehamilan saya.
“Kami hanya mampu berdoa agar keadaan kekal selamat dan tidak menjadi lebih buruk,” katanya yang tetap optimis kerana kediamannya di Ajman terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari pangkalan tentera AS di Abu Dhabi.
Tragedi itu pastinya meninggalkan kesan mendalam buat Nurul Ain. Sebelum menetap di UAE, beliau pernah menjadi perhatian negara apabila terkandas di Semenanjung Gaza ketika konflik memuncak pada 7 Oktober 2023.
Ketika itu, Nurul Ain dan suaminya terperangkap di tengah-tengah zon perang sebelum berjaya dibawa keluar dengan selamat melalui pintu sempadan Rafah hasil usaha kerajaan Malaysia.
Kini, selepas memulakan hidup baharu di Dubai, beliau sekali lagi diuji dengan tempias konflik geopolitik di Asia Barat, namun kali ini dalam keadaan berbeza di sebuah negara yang sering dianggap antara paling selamat di dunia. – MYBERITA

