KUALA LUMPUR – Perarakan melibatkan ratusan aktivis dari kawasan SOGO Kuala Lumpur menuju ke Dataran Merdeka sempena sambutan International Women’s Day pada Ahad mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.
Peserta dilaporkan mula berkumpul di hadapan kompleks membeli-belah tersebut sebelum berarak melalui beberapa jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur sambil membawa sepanduk serta melaungkan pelbagai slogan berkaitan hak wanita dan isu sosial.
Perarakan itu turut disertai beberapa kumpulan aktivis termasuk organisasi sosial dan individu yang menyuarakan sokongan terhadap pelbagai agenda progresif, antaranya berkaitan kesaksamaan gender, hak pekerja migran serta tuntutan perlindungan terhadap komuniti LGBTQ.
Bagaimanapun, tindakan segelintir peserta yang memaparkan visual serta sepanduk tertentu termasuk yang dikaitkan dengan isu LGBTQ dan kandungan yang didakwa mempersendakan ayat al-Quran mengundang kecaman dalam kalangan orang ramai.
Perkara itu lebih sensitif apabila insiden berkenaan berlaku dalam bulan Ramadan, sekali gus mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati sensitiviti agama serta nilai budaya tempatan.
Di media sosial, ramai pengguna meluahkan rasa tidak bersetuju dengan penganjuran perarakan tersebut dan menyifatkan agenda tertentu yang diketengahkan sebagai bercanggah dengan norma masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Sebahagian warga maya turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut serta mengambil tindakan sewajarnya susulan dakwaan wujud unsur yang menyinggung sensitiviti agama dan melanggar undang-undang negara.
Perarakan tersebut bagaimanapun dilaporkan berlangsung dalam keadaan terkawal sebelum peserta berhimpun di kawasan Dataran Merdeka bagi mendengar ucapan beberapa wakil aktivis yang menyuarakan pelbagai isu sosial. – MYBERITA

