KUALA LUMPUR – Bintang muay thai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, terpaksa akur apabila tewas kepada petarung Jepun, Shimon Yoshinari, menerusi keputusan juri dalam aksi ONE Samurai 1 di Ariake Arena sebentar tadi.
Dalam pertarungan penuh sengit itu, Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo turun dengan semangat juang tinggi meskipun berdepan cabaran getir daripada lawan yang lebih berpengalaman di hadapan penyokong tuan rumah.
Petarung muda berusia 19 tahun itu tidak gentar melayan asakan Yoshinari sejak pusingan pertama, apabila beberapa kombinasi tumbukan dan tendangan berjaya mengenai sasaran.
Aksi semakin rancak pada pusingan kedua apabila Jojo melepaskan tumbukan tepat ke bahagian muka Yoshinari, sekali gus mencetuskan pertarungan berbalas serangan antara kedua-dua bintang ONE Championship itu dalam usaha mengumpul mata kemenangan.
Namun, pengalaman luas Yoshinari nyata memberi kelebihan apabila petarung Jepun itu berjaya mengawal tempo pertarungan selain menjatuhkan Jojo pada satu ketika penting.
Jojo cuba bangkit pada pusingan terakhir dengan serangan agresif, namun Yoshinari berjaya mempertahankan kelebihan dengan corak permainan lebih tersusun pada pusingan ketiga.
Keputusan akhir memihak kepada Yoshinari, sekali gus menghadiahkan kekalahan tipis buat Jojo dalam pertarungan yang cukup mendebarkan itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas semua sokongan yang diberikan. Terima kasih juga kepada semua pihak dalam ONE Championship kerana menganjurkan pertarungan ini.
“Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir dan memberikan sokongan kepada saya. Perjalanan ini masih panjang dan saya akan terus bekerja keras untuk menjadi juara ONE suatu hari nanti,” kata Yoshinari.

