KUALA LUMPUR – Seorang individu mendakwa menjadi mangsa penyalahgunaan identiti apabila maklumat peribadinya termasuk kad MyTentera digunakan untuk membuat pembelian barangan secara ansuran tanpa pengetahuan.
Menerusi hantaran di laman threads, perkara itu disedari selepas mangsa menyemak laporan CTOS miliknya baru-baru ini dan mendapati terdapat rekod pembelian bernilai kira-kira RM8,000 yang diluluskan pada 3 Mac lalu melalui sebuah syarikat kredit.
Menurutnya, pembelian tersebut tidak pernah dilakukan olehnya sebelum dia bertindak pergi ke pejabat syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Hasil semakan mendapati barangan itu dibeli dari sebuah kedai telefon di Cheras menggunakan maklumat saya,” katanya.
Mangsa turut mendakwa individu terbabit dipercayai menggunakan kad MyTentera miliknya yang dilaporkan hilang pada November tahun lalu bagi tujuan pembelian tersebut.
Selain itu, dia juga dimaklumkan bahawa slip gaji palsu dipercayai digunakan bagi meluluskan permohonan pembelian berkenaan.
Susulan kejadian itu, mangsa telah membuat laporan polis serta menyerahkan bukti termasuk dokumen berkaitan MyTentera untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, dia mempersoalkan tahap pengesahan pihak syarikat kredit yang didakwa tidak melakukan semakan menyeluruh terhadap identiti pembeli.
Katanya, laporan awal yang dibuat sebelum ini tidak diambil tindakan lanjut kerana tiada kerugian kewangan direkodkan ketika itu.
Bagaimanapun, dia berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan lanjut susulan penemuan baharu tersebut. -MYBERITA

