Penuntut USM, Amirul Syahmi cipta nama, sasar tempat dalam skuad futsal kebangsaan

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) mencuri tumpuan apabila berjaya menempatkan diri dalam senarai pendek skuad futsal kebangsaan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan karier sukannya.

Muhammad Amirul Syahmi Mohd Sanusi, 23, meluahkan rasa syukur atas peluang tersebut yang disifatkan sebagai hasil usaha berterusan dalam arena futsal sejak di bangku pengajian tinggi.

Menurut anak kelahiran Raub, Pahang itu, pemilihan ke peringkat lebih tinggi bukan sahaja satu penghargaan, malah platform terbaik untuk meningkatkan kemahiran bersama pemain berpengalaman dari seluruh negara.

“Peluang ini sangat bermakna buat saya. Sudah tentu ada rasa gementar, tetapi lebih kepada semangat untuk belajar dan buktikan kemampuan di tahap lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi MYBERITA, hari ini.

Syahmi yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan sebelum ini aktif mewakili pasukan universiti dan mula mencipta nama dalam saingan kompetitif tempatan.

Namanya mula menjadi sebutan apabila membantu pasukan USMKK FC menjuarai saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2 musim 2025, selain dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) hasil persembahan konsisten di posisi sayap.

Aksi lincah dan kreatif yang dipamerkan sepanjang kejohanan itu turut membuka ruang untuk beliau dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad futsal negara sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Futsal ASEAN 2026 di Thailand.

Dalam pada itu, Syahmi memberitahu sokongan keluarga menjadi antara faktor utama yang mendorongnya untuk terus kekal fokus dan berdisiplin dalam mengejar impian.

“Pesanan ibu bapa sentiasa saya pegang supaya menjaga diri dan tingkah laku kerana itu mencerminkan siapa kita pada masa depan,” ujarnya.

Terdahulu, USMKK FC muncul juara MPFL Divisyen 2 2025, manakala Syahmi turut meraih pengiktirafan sebagai pemain terbaik kejohanan tersebut, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara prospek baharu futsal negara. – MYBERITA

BACA JUGA:  Graduan ini bukan sekadar 'first class', kini 'key player' projek digital Johor
Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

PDRM, MAINJ siasat video wanita menyimpang mengaku jadi Nabi

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai...

DBKL tambah tiga CCTV di KLCC, perkukuh keselamatan, banteras ‘ulat foto’

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah...

13,779 calon raih keputusan cemerlang SPM 2025

PUTRAJAYA - Seramai 13,779 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)...

Kerajaan pertimbang ‘wfh’ secara berperingkat untuk penjawat awam

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan peraturan kerja...

Kerajaan selaras kuota BUDI95 kepada 200 liter mulai 1 April

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyelaraskan kelayakan penggunaan BUDI95...