KUALA LUMPUR – Model dan pelakon, Nia Atasha Rosli, 30, menafikan dakwaan kononnya tinggal sebumbung bersama kekasihnya susulan tular video mereka berdua di dalam sebuah rumah.
Menurut Nia atau lebih dikenali sebagai Sleepylllama, kehadiran lelaki terbabit di kediamannya hanyalah bagi tujuan menghasilkan kandungan media sosial dan bukan seperti yang diperkatakan.
“Tidak, kami tidak serumah. Dalam video itu memang dia berada di rumah saya sebab kami buat TikTok bersama, itu sahaja.
“Saya nak jelaskan, kami memang tidak tinggal bersama. Kalau ada apa-apa pun, kami hanya tinggal setaman. Rumah dia dekat sahaja, tiada apa-apa pun,” katanya.
Mengulas kecaman netizen, wanita yang turut dikenali sebagai itu memilih untuk tidak melatah, sebaliknya menganggap dakwaan tersebut sebagai spekulasi tidak berasas.
“Biasalah, orang suka mencetuskan cerita. Tapi saya dan Sky Iskandar jenis tidak ambil kisah sebab perkara itu tidak benar.
“Jadi saya tidak rasa perlu buat penjelasan panjang. Orang nak fikir apa, terpulang. Kami tahu perkara sebenar,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nia mengakui sudah lali berdepan komen negatif sejak awal pembabitannya dalam dunia peragaan, sekali gus tidak mudah terkesan dengan tohmahan.
“Saya tidak rimas sebab sudah biasa. Sejak zaman modelling lagi memang sudah hadap macam-macam komen.
“Impak negatif pun tidak lama. Dalam seminggu sahaja, selepas itu semua kembali seperti biasa. Saya teruskan kerja seperti biasa,” katanya.
Terdahulu, video memaparkan Nia bersama Sky Iskandar di dalam sebuah rumah mencetuskan tanda tanya sehingga timbul spekulasi kononnya mereka bersekedudukan. -MYBERITA

